Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor mahu peminat bola sepak Harimau Malaya terus kekal bertenang dan bersabar.
Terdahulu, para peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita Ferdy Druijf yang memaklumkan bahawa tidak mengetahui memiliki pertalian darah dengan Malaysia melalui nenek beliau.
Maklum balas ini mengejutkan ramai pihak meski sebelum ini nama bekas penyerang PEC Zwolle ini antara yang dicanang bakal sertai Harimau Malaya apabila proses dokumentasi telah selesai
Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Baginda sempat memberi gambaran bagaimana gerak kerja di negeri Johor yang tidak memerlukan harapan berterusan namun menjadi realiti.
”Di Johor atau cara Johor, kita buat kerja tanpa perlu bising-bising, berlebih-lebihan, memberikan harapan palsu, dan akhirnya tiada apa-apa,” tulis Tunku Ismail.
“Cara kita di Johor adalah tindakan lebih kuat daripada kata-kata. Kami tidak banyak bercakap, kami laksanakan. Kata-kata kami adalah maruah kami.”
Ujar Baginda, sudah bertahun lamanya Johor mengamalkan prinsip kerja seperti ini yang mementingkan hasil akan tetapi tidak menyalahkan pihak luar yang tidak memahami cara ini.
“Apabila kami berjanji, kami akan berjuang untuk menepatinya. Itulah Johor, hasil lebih bererti. Sudah bertahun-tahun kami membuktikan setiap perkara yang diumumkan akan dilaksanakan dan menjadi kenyataan.”
“Namun, tidak semua orang faham dan kita tidak boleh menyalahkan mereka, kerana mereka tidak biasa,” ujar Tunku Ismail lagi.
Jelas Baginda lagi, beberapa pemain warisan sebelum ini antaranya Dion Cools, Stuart Wilkin dan Darren Lok adalah contoh proses yang berlaku tanpa hebahan berlebihan dan menjadi kenyataan.
“Dion Cools, Daniel Ting, Darren Lok, Stuart Wilkins, Corbing Ong, Endrick Dos Santos, Romel Morales. Tahu-tahu jadi dah jadi, tak ada heboh-heboh menggelupur.”
Tunku Ismail mahu pemikiran peminat semua agar berubah seperti cara di Johor dan tetap percaya dengan izin Yang Maha Esa, kejayaan akan tiba buat pasukan Malaysia.
“Ubah pemikiran itu. Lihat Johor, ikut cara Johor. Bersabar, beradab, dan bersyukur. Dengan izin-Nya, ALLAH akan kurniakan kejayaan.”