Bekas penyerang berbisa PEC Zwolle, Ferdy Druijf membuka cerita bagaimana permulaan kisah beliau dikaitkan bersama Malaysia.
Sebelum ini, nama Ferdy Druijf kembali menjadi topik hangat apabila difahamkan bahawa proses dokumentasi penyerang ini sudah pun selesai dan semakin hampir untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Menerusi satu sesi temu bual bersama ESPN Netherlands, Druijf sempat membuka cerita mengenai bagaimana nama beliau mula dikaitkan dengan Malaysia yang mengejutkan keluarganya.
Menurut Druijf, terdapat sebuah akaun Instagram yang mula mengaitkan beliau dan Malaysia sehinggakan berita itu tular sekaligus berasa terkejut melihat penambahan pengikut di media sosial.
”Ya, ini agak gila sebenarnya, saya kena jujur. Satu akaun di Instagram tiba-tiba muncul dengan (khabar angin memiliki darah Malaysia) itu,” cerita Druijf kepada hos-hos temu bual itu.
“Kemudian, saya tak buat apa-apa tentang itu, tetapi semua orang telah sebarkan hal ini dan saya benar-benar mendapat pertambahan pengikut di Instagram.”
Jelas Druijf, akaun tersebut mendakwa bahawa nenek beliau memiliki susur galur dari Malaysia dan lebih mengejutkan ibu bapa beliau turut tidak mengetahui mengenai hal tersebut.
“Dan dia (akaun Instagram itu) berkata, nenek saya ada susur galur dari Malaysia. Tetapi apa yang benar mengenainya, mungkin mereka tahu lebih daripada saya.”
“Ibu bapa saya pun tidak tahu banyak mengenainya. Jadi, ya, mungkin itu akan terungkap jika saya lakukan ujian DNA atau sesuatu.”
Lantaran itu, beliau mengambil inisiatif dengan melakukan ujian DNA untuk melihat keputusan sama ada dakwaan oleh akaun Instagram itu benar mahu pun sebaliknya.
“Saya benar-benar ada ujian DNA di atas meja sekarang, jadi saya fikir, kenapa tidak? Saya akan cuba saja.”
“Saya akan lihat apa (keputusan) yang akan keluar, mungkin orang lain lebih tahu daripada saya.”
Tambah Druijf, keputusan DNA tersebut masih belum dapat diketahui lagi namun tidak menolak sebarang kemungkinan untuk menyertai Harimau Malaya andai benar nenek beliau berasal dari Malaysia.
”Kita tak tahu lagi (keputusan DNA), ya kenapa tidak (jika benar nenek saya berdarah Malaysia), kalau begitu sudah tentu saya tidak menolaknya,” tambah bekas pemain PEC Zwolle itu.
Sehingga kini masih belum ada makluman terkini dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan pemain warisan yang akan menyertai Harimau Malaya di Kelayakan Piala Asia nanti.
Masih berbaki 18 hari lagi menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia antara Malaysia vs Nepal yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac hadapan.