Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Fernando Rodriguez mengumumkan telah meninggalkan kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo.
Perkara ini diumumkan kelab itu di laman Instagram rasmi mereka pada Selasa lepas.
“Terima kasih atas perjuangan dan dedikasinya selama ini untuk Laskar Sambernyawa. Once a red, always a red,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan.
Perkara sama turut diumumkan Rodriguez dalam satu hantaran di akaun Instagram peribadinya beberapa hari lepas.
“Tiga negara: Filipina, Indonesia dan Malaysia. Terima kasih kepada semua kelab di mana saya berpeluang untuk bermain: Ceres Negros di Filipina, Mitra Kukar dan Persis Solo di Indonesia, Kedah dan Johor di Malaysia.
“Saya merasa bersyukur dengan semua orang dan rakan yang menemani saya dalam pengembaraan ini.
“Untuk keluarga saya terutama kepada isteri saya dan anak-anak saya, yang sanggup merentas dunia untuk berada di samping saya, memberi kasih saya dan sokongan apabila ada perkara tidak berjalan lancar.
“Terima kasih juga kepada peminat yang meraikan lebih 140 gol yang dijaringkan dalam pengembaraan ini di tanah Asia. Saya mengalami kegembiraan dan kekecewaan banyak kali.
“Sekarang, masa untuk menikmati kehadiran keluarga dan rakan-rakan semula yang saya rindui selama bertahun-tahun. Saya akan terus berjuang tidak kira di mana saja saya pergi.
“Cabaran baru menanti kami, dengan kerendahan hati, komitmen dan dedikasi yang membawa saya untuk mencapai apa yang saya telah capai,” katanya.
Ramai menjangkakan Rodriguez akan pulang ke kampung halamannya di Sepanyol. Tidak kira apa pilihan beliau selepas ini, ramai penyokong mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Dengan Rodriguez meninggalkan Persis, pengurusan kelab perlu mencari pengganti yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan beliau. Bekas penyerang Ceres Negros itu sudah menjaringkan tujuh gol dalam liga musim ini.
Semasa bersama Harimau Selatan, beliau pernah menjulang gelaran juara Liga Super sebanyak tiga kali.