FIFA ASEAN Cup: Indonesia Hilang Khidmat Jay Idzes
MakanBola
AFC

Indonesia terpaksa melupakan khidmat bek tengah Sassuolo, Jay Idzes menjelang kempen FIFA ASEAN Cup.

Bek tengah berusia 26 tahun itu dijangka berehat antara empat hingga lima minggu kerana mengalami kecederaan peha. Perkara ini disahkan Sassuolo dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

“U.S. Sassuolo Calcio mengumumkan bahawa susulan kecederaan yang dialami semasa perlawanan menentang Juventus pada hari 13 September lalu, pemain (pertahanan) Jay Idzes telah menjalani pemeriksaan perubatan yang mengesahkan beliau mengalami kecederaan tahap sederhana pada otot kuadricep kiri.

“Pemain pertahanan itu telah pun memulakan program pemulihannya,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Situasi ini dijangka merencatkan perancangan jurulatih Indonesia, John Herdman. Sejak membuat penampilan pertama untuk Tim Garuda pada Mac 2024, Idzes menjadi tonggak utama di bahagian pertahanan.

Semakan di Transfermarkt menunjukkan beliau sudah merekodkan 18 penampilan dan satu gol untuk Indonesia. Idzes juga kerap diberi peluang memikul tugas sebagai kapten setiap kali mewakili Tim Garuda.

Herdman memiliki beberapa pilihan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan beliau. Antara pemain yang berpotensi dipanggil ialah Elkan Baggott, Justin Hubner, Rizky Ridho, Mathew Baker dan Jordi Amat.

Herdman juga boleh menggunakan saingan FIFA ASEAN Cup sebagai medan menguji Kevin Diks atau Mees Hilger sebagai bek tengah.

Indonesia berada dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Malaysia, Singapura dan Bangladesh.