FIFA ASEAN Cup: Jordi Amat Tak Sabar Lawan Malaysia
MakanBola
PSSI

Bekas bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mengakui tidak sabar mewakili Indonesia menentang Malaysia dalam saingan FIFA ASEAN Cup.

Amat menyifatkan pertemuan kedua-dua negara di peringkat antarabangsa cukup istimewa. Ini ditambah dengan status Indonesia sebagai tuan rumah edisi sulung FIFA ASEAN Cup.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah aksi peringkat kumpulan ASEAN Hyundai Cup edisi 2020. Indonesia muncul pemenang dengan menewaskan Malaysia 4-1.

Meskipun begitu, Amat mahu memastikan Indonesia membuka kempen kejohanan dengan nota positif bila bertemu Singapura dalam aksi pertama Kumpulan A.

“Melawan Malaysia? Tentu akan sangat luar biasa. Sudah lama sekali ya. Namun sebelum melawan Malaysia, lebih dulu kami harus menghadapi Singapura,” katanya kepada Bola.com.

Amat turut mengakui ketiadaan beberapa tonggak termasuk kapten, Jay Idzes sedikit sebanyak memberi kesan kepada perancangan Indonesia.

Pada masa sama, beliau berharap barisan pemain yang dipanggil jurulatih, John Herdman dapat membalas kepercayaan apabila diturunkan dalam FIFA ASEAN Cup.

“Saya harap pemulihan cedera mereka berjalan dengan baik. Kami pasti merindukan kehadiran mereka. Namun, bagi saya, hal seperti ini biasa terjadi.

:Memang menyedihkan, tapi saya rasa kami sekarang memiliki pasukan yang hebat dan sangat menantikan detik untuk bergabung dalam pasukan pada Isnin nanti,” tambahnya.

Indonesia berada dalam Kumpulan A bersama Malaysia, Bangladesh dan Singapura. Tim Garuda akan membuka kempen Kumpulan A dengan menentang Singapura pada 25 September ini.