Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kini berbicara tentang Malaysia lagi.
Kali ini, watak naturalisasi negara, Sergio Aguero meraih perhatian badan gergasi bola sepak dunia itu selepas dinaturalisasikan oleh Malaysia sejak tahun 2022.
Pemain berusia 30 tahun itu memberitahu bahawa beliau amat menyayangi Malaysia kerana sudah hampir 8 tahun menetap di sini.
“Saya telah menetap dan bermain di Malaysia hampir lapan tahun, dan saya dan isteri mempunyai dua anak yang dilahirkan di sini,” kata pemain Sri Pahang itu.
“Kami gembira di sini dan sayangkan Malaysia dan rakyatnya. Jadi apabila peluang muncul untuk menjadi warganegara Malaysia dan mewakili pasukan kebangsaan, ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan keputusan yang sangat mudah untuk dibuat.
Aguero tanpa segan-silu memberitahu bahawa beliau merasa sangat bangga setiap kali diberi peluang untuk mewakili Harimau Malaya.
“Sungguh mengagumkan untuk mewakili negara yang saya cintai. Setiap kali saya mendapat panggilan, ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan saya tidak dapat menjelaskan kegembiraan yang datang bersamanya.
“Saya akan sentiasa gembira untuk memakai jersi Malaysia dan akan memberikan segalanya untuk negara ini,” ujar Aguero kepada FIFA.
Tonggak penting Sri Pahang itu melakukan debut untuk Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada 9 Disember 2022.
Beliau mengakui bahawa itu merupakan detik yang penuh emosi selain juga gol pertamanya untuk skuad kebangsaan hanya 15 hari kemudian dalam perlawanan Kejuaraan AFF menentang Laos.
Perjalanan hebat Malaysia dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 terhenti selepas menduduki tempat ketiga, ketinggalan satu mata di belakang naib juara kumpulan, Republik Kyrgyz dan tiga di belakang juara kumpulan iaitu Oman.