Filipina Bawa Misi Besar Ke Malaysia
MakanBola
PMNFT

Filipina hadir ke Malaysia dengan misi besar apabila berhasrat menamatkan badi 35 tahun tanpa kemenangan ke atas Harimau Malaya. Kedua-dua pasukan bakal bertembung dalam aksi ASEAN Hyundai Cup 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 8 Ogos.

Kali terakhir Filipina menewaskan Malaysia adalah pada 1991 dan penjaga gol The Azkals, Quincy Kameraad, berharap pasukannya mampu mengulangi pencapaian tersebut dalam pertemuan kali ini.

“Ini adalah perlawanan yang istimewa. Perlawanan di stadium lawan dan kita akan lihat apa yang akan terjadi pada aksi malam esok (8 Ogos).

“Saya harap pasukan kami dapat mencipta sejarah sekali lagi dan boleh melakukan sesuatu yang istimewa serta mencapai keputusan yang baik di akhir perlawanan,” jelas Kameraad dalam sidang media pra-perlawanan.

Kameraad turut mendedahkan semangat setiakawan dalam skuad Filipina semakin berkembang sejak kebelakangan ini apabila seluruh pemain berkongsi matlamat sama untuk membawa nama negara.

“Perkara yang paling berkembang dalam skuad ini adalah semangat setiakawan. Kami semua berada di sini atas tujuan yang sama, iaitu mewakili negara.

“Bendera di dada sentiasa menjadi satu penghormatan terbesar dan apabila perkara itu jelas kepada semua orang, pasukan menjadi lebih rapat dan kuat,” katanya lagi.

Dalam saingan Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026, Malaysia kini berada di tangga ketiga dengan enam mata, manakala Filipina menghuni kedudukan keempat dengan tiga mata. Situasi itu menyaksikan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir kejohanan.

Skuad kendalian Carles Cuadrat pastinya mahu menggunakan kesempatan tersebut untuk menamatkan penantian panjang mereka selain menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya. Namun, Harimau Malaya dijangka tampil dengan lebih garang dengan mahu memastikan tiga mata menjadi milik mereka di laman sendiri.