Anak-anak buah jurulatih Filipina, Carles Caudrat sedia mengekang ketajaman pemain-pemain Harimau Malaya menjelang aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Malaysia.
Hal ini dinyatakan bekas jurulatih Bengaluru itu apabila ditanya tentang taktikal yang bakal digunakan ketika bertemu Harimau Malaya pada esok malam bagi mencerahkan peluang meraih kemenangan.
Sebelum ini, Cuadrat lebih memilih bermain dengan posisi 4,4,2 dalam aksi ketiga kumpulan menentang Thailand pada 4 Ogos lalu.
Formasi tersebut tampak membuahkan hasil apabila skuad beliau berjaya mengekang asakan Thailand sehingga minit ke-85 dan menyaksikan Filipina hanya tewas dengan keputusan 1-0.
Atas sebab itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk membentuk taktikal baharu supaya dapat menundukkan Malaysia di halaman lawan.
“Ya, kami membuat sedikit perubahan daripada segi taktikal dan sistem permainan.”
“Kami telah membuat analisis terhadap Malaysia. Mereka adalah pasukan yang sangat berbahaya, khususnya di bahagian serangan kerana memiliki ramai pemain berkualiti.”
“Sudah tentu kami mempunyai pelan permainan tersendiri,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Aksi Malaysia vs Filipina dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos jam 9 malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.