Filipina kehilangan seorang permata di bahagian tengah apabila Stephan Schrock mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak.
Keputusan pemain berusia 37 tahun itu dinyatakan menerusi satu hantaran di akaun Instagram baru-baru ini.
“Hari ini, saya mengumumkan persaraan saya dari bola sepak profesional. Terima kasih kepada ibu saya yang luar biasa, yang memulakan perjalanan bola sepak ini dan kepada isteri saya yang luar biasa, tulang belakang kejayaan saya.
“Terima kasih juga kepada semua jurulatih dan rakan sepasukan saya, anda membuat kerjaya saya unik.
“Ia adalah satu perjalanan yang luar biasa. Dari permulaan yang sederhana di rumah kebajikan sosial, memakai kasut terpakai hinggalah mewakili kedua-dua pasukan kebangsaan Jerman dan Filipina.
“Dari bola sepak sangkar dan menghadapi keraguan yang tidak berkesudahan hinggalah memenangi gelaran di Eropah dan Asia – ini sesuatu yang mengagumkan! Saya sentiasa bersyukur untuk setiap saat. Inilah usaha baru dan permulaan baru ketika saya memulakan pengembaraan baru,” katanya.
Sebelum mewakili Filipina, Schrock pernah beraksi untuk skuad Jerman Bawah 18 Tahun (B-18), B-19 dan B-20. Beliau kemudiannya mewakili Filipina pada tahun 2011 dan telah merekodkan 61 penampilan antarabangsa.
Schrock memulakan kariernya di Jerman bersama Greuther Furth. Beliau berkesempatan beraksi di Bundesliga bersama Furth, 1899 Hoffenheim dan Eintracht Frankfurt.
Schrock kemudiannya berkelana ke Filipina dan sempat beraksi untuk Ceres-Negro (kini United City FC), CF Manila dan One Taguig.
Ketiadaan Schrock dijangka memeningkan jurulatih Filipina, Tom Saintfiet tentang siapa yang bakal dipilih membarisi barisan tengah The Azkals.
Ini kerana pasukan itu bakal berentap dalam Pestabola Merdeka 2024 bersama tuan rumah Malaysia, Tajikistan dan Lubnan pada September ini.