“Final Impian JDT & Selangor” – Akmal Rizal
MakanBola
Selangor FC

Bekas penyerang Harimau Malaya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC dapat mara ke final Shopee Cup.

Ini kerana final ini bukan saja memastikan dua tiket final kejohanan itu menjadi milik dua pasukan elit LIga Super itu.

Malah, ini merealisasikan impian penyokong untuk melihat kedua-dua pasukan berentap di pentas final musim ini.

“Kita memang mengharapkan dua wakil kita (JDT dan Selangor) layak ke final. Final impian JDT dan Selangor yang kita mahu tengok.

“Kita tak dapat lihat di final Piala Malaysia. Ini yang kita harapkan,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.

Separuh akhir Shopee Cup menyaksikan JDT dan Selangor masing-masing berdepan cabaran Buriram United dan Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC).

Sekiranya kedua-dua pasukan berjaya melepasi Buriram dan Nam Dinh di peringkat separuh akhir, pertembungan JDT dan Selangor dijangka menjadi tumpuan semua peminat rantau ASEAN termasuk Malaysia.