Advertisements
Frank Bernhandt Pengarah Teknikal Baru Kelantan
Liga Super
MakanBola
FA Malaysia

Sebagai usaha memperkukuh struktur akar umbi dan kejurulatihan Kelantan, pengurusan The Red Warriors telah mengumumkan pengarah teknikal baru mereka hari ini. Bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Frank Bernhardt diperkenalkan sebagai pengarah teknikal baru pasukan.

Bernhardt yang juga bekas jurulatih UiTM FC dibawa masuk untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Nasir Yusof. Pengumuman perlantikan ini dibuat menerusi laman media sosial The Red Warriors hari ini.

Sebelum ini, kelibat jurulatih Jerman itu sudah dilihat di Stadium Sultan Muhammad IV semasa perlawanan Liga Super membabitkan Kelantan dan KL City. Dan ini membawa kepada khabar angin bahawa Bernhardt bakal dilantik sebagai pengarah teknikal baru pasukan.

Begitupun, ada juga khabar angin seperti dinyatakan wartawan The Star, T. Avineshwaran yang menyatakan Bernhardt dibawa masuk pemilik pasukan, Norizam Tukiman sebagai pengganti jurulatih mereka ketika ini, Choi Moon-sik. Dengan pengumuman yang dibuat hari ini, kedudukan bekas pengurus Daejeon Citizens itu bersama Kelantan masih selamat.

Selain pernah bergelar jurulatih B-23 dan UITM FC, Bernhardt juga pernah mengisi kedudukan sebagai jurulatih skuad B-19 dan B-22 Estonia (2007-2012) serta Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Azerbaijan (2014-2015).

Kepakaran teknikal yang dibawa jurulatih Jerman itu diharap dapat membantu bola sepak Kelantan maju ke hadapan terutama dari segi akar umbi.