Selepas pemilik Kelantan, Norizam Tukiman mengambil keputusan untuk merehatkan Choi Moon-sik, ramai berspekulasi kedudukan jurulatih Korea Selatan itu akan diambil alih oleh Frank Bernhardt. Hari ini, jurulatih Jerman itu sah dilantik sebagai pengganti Moon-sik.
Sebelum dilantik sebagai Pengarah Teknikal Kelantan lagi, sudah ada ura-ura Bernhardt akan dibawa masuk sebagai pengganti bekas jurulatih Daejeon Citizens pada ketika itu. Tetapi Norizam yang mesra dipanggil Zamsaham itu masih memberi kepercayaan kepada Moon-sik untuk membawa The Red Warriors (TRW) keluar dari zon kemerosotan.
Kini, pengalaman bekas jurulatih UiTM itu ditagih bagi membantu TRW menjauhi kedudukan tercorot Liga Super. Ketika ini, Kelantan menduduki tempat ke-13 dengan empat mata daripada tujuh perlawanan.
Peminat Kelantan seakan sudah mengetahui Bernhardt bakal mengendalikan pasukan menjelang aksi Liga Super menentang Selangor pada malam ini di Stadium MBPJ. Ini selepas mereka melihat kelibatnya dengan jurulatih sementara Rezal Zambery Yahya dalam gambar-gambar sesi latihan pasukan itu yang dimuatnaik di Facebook semalam.
Selain UiTM FC, beliau juga pernah melatih skuad B-23 negara, jurulatih skuad B-19 dan B-22 Estonia (2007-2012) serta menjadi Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Azerbaijan (2014-2015).