Segalanya seperti tidak menjadi buat pasukan Kelantan FC kendalian jurulatih dari Jerman, Frank Bernhardt apabila terpaksa menerima kekalahan besar 0-5 kepada pasukan Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super malam tadi.
Bagi Bernhardt, beliau sudah tentu merasakan kekecewaan di atas kekalahan tersebut. Beliau mengakui barisan pemain Kelantan beraksi dengan agak teruk sehingga tewas dengan jaringan yang agak besar.
“Sangat mengecewakan. Idea yang diberikan pada mulanya adalah berbeza. Pemain berpengalaman, pemain tengah dan pemain serangan tidak dapat beraksi dengan baik dan sangat jauh corak permainan mereka seperti perlawanan-perlawanan terdahulu. Saya tak tahu apa yang telah berlaku. Ianya sangat teruk,” luah Frank Bernhart kepada Astro Arena selepas tamat perlawanan.
Ketika ditanyakan sasaran dalam perlawanan Liga Super seterusnya menentang PDRM FC, Bernhardt tidak akan berputus asa dan akan terus bekerja keras demi mendapatkan keputusan positif bagi memperbaiki kedudukan Kelantan yang kini berada di kedudukan kedua tercorot.
“Kita tidak akan berputus asa. Ianya bukan tugas yang mudah. Kita perlu perbaiki dan mungkin ada perubahan dari barisan pemain yang akan diturunkan. Kita perlu mencuba,” jelas bekas pengendali UITM FC itu lagi.
Untuk rekod, Frank Bernhardt dibawa masuk ke Kelantan FC pada bulan penghujung 2023 sebagai Pengarah Teknikal sebelum dilantik menjadi Ketua Jurulatih yang baharu buat pasukan ‘The Red Warriors’ itu pada bulan lalu.