G. Pavithran Sertai Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Pemain sayap kiri muda Harimau Malaya, G. Pavithran akhirnya menemui destinasi untuk mengharungi saingan liga baharu selepas disahkan menyertai Terengganu FC pada Jumaat.

Perpindahan Pavithran ke Terengganu telah diumumkan pihak kelab melalui satu kenyataan yang disiarkan di semua laman sosial rasmi pasukan.

“Selamat Datang Pavithran Gunalan,” kata Terengganu dalam satu kenyataan di laman media sosial milik mereka.

Bekas pemain JDT II itu dijangka bakal membentuk gandingan mantap di bahagian serangan Terengganu bersama-sama penyerang kebangsaan Curacao, Gervane Kastaneer dan Romel Morales.

Baru-baru ini, nama G. Pavithran semakin meningkat naik selepas mempamerkan aksi yang memberangsangkan dalam kejohanan Piala Hyundai ASEAN 2026. Beliau menjaringkan satu gol ketika membantu pasukan menewaskan Filipina, selain mencatatkan dua bantuan jaringan sepanjang kejohanan tersebut.

Pada musim lepas, Pavithran beraksi bersama JDT II dalam kancah saingan Liga A1 Semi-Pro sebanyak 17 perlawanan dan menjaringkan 1 gol untuk kelab tersebut pada musim 2025/26.

Selain itu, beliau turut pernah membuat penampilan sulung bersama skuad utama JDT pada November 2024 dalam saingan Piala Malaysia menentang KL Rovers.

Kehadiran beliau dijangka bakal memberikan tonik tambahan buat pasukan Sang Penyu bagi aksi Liga Super Malaysia musim ini.