Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh percaya dengan kredibiliti yang dimiliki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam membuat keputusan berhubung pelantikan jurulatih perseorangan yang baharu.
Terdahulu, ura-ura kuat mengatakan bekas jurulatih pasukan Denmark, Kenneth Jonassen bakal dilantik oleh BAM sebagai ketua jurulatih bagi sektor perseorangan negara yang baharu.
Menurut Hannah, khabar angin melibatkan lagenda Denmark itu pertama kali didengari dan mahu menunggu keputusan oleh BAM memandangkan ini berada di bawah bidang kuasa badan induk tersebut.
“Khabar angin (Kenneth Jonassen) belum sampai kepada saya, ini baru pertama kali saya dengar. Jadi, kena tunggu BAM membuat keputusan,” kata Hannah kepada Astro Arena.
“(Pemilihan ketua jurulatih) ini di dalam tangan BAM (kerana) yang akan bayar gaji adalah BAM.”
Tambah Hannah, beliau menaruh kepercayaan penuh kepada jawatankuasa BAM untuk memilih dan menentukan jurulatih yang layak untuk memegang portfolio sektor perseorangan negara.
“Ini adalah kuasa BAM, saya percaya dengan jawatankuasa yang mereka miliki untuk memilih, mereka akan membuat keputusan dengan tepat,”
Ketika ini, jawatan ketua jurulatih perseorangan lelaki di BAM masih lagi kosong setelah rombakan yang dilakukan sebelum ini menyaksikan kontrak Hendrawan tidak dilanjutkan oleh badan induk tersebut.
Menerusi struktur kejurulatihan yang baharu, Alvin Chew dan K. Yogendran ketika ini diberi peranan bagi membimbing atlet perseorangan lelaki sementara ketiadaan ketua jurulatih.