Gamba Osaka menempah tiket final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dengan menewaskan Bangkok United secara agregat di Stadium Rajamangala.
Gamba berharap dapat bangkit selepas tewas 1-0 dalam aksi separuh akhir sebelumnya. Selain itu, ini juga peluang kelab Jepun itu bangkit selepas dikecewakan musuh setempat, Cerezo Osaka baru-baru ini.
Bangkok United sedar mereka berpeluang mara ke final dengan syarat mampu mempertahankan kelebihan agregat tipis yang dimiliki.
Muhsen Al Ghassani dan Deniz Hummet masing-masing menjadi sandaran gol Bangkok United dan Gamba untuk perlawanan hari ini.
Sebaik perlawanan bermula, Gamba berusaha mencari gol awal menerusi Hummet, Welton, Issam Jebali dan Ryoya Yamashita.
Gol yang dicari hadir pada minit ke-19 menerusi Yamashita. Ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dari segi agregat.
Jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan kemudiannya membuat pertukaran awal dengan memasukkan Nebojsa Kosovic menggantikan Thitipan Puangchan. Ini selepas Thitipan mengalami kecederaan pada minit ke-32.
Bangkok United terus ditimpa malang apabila pelawat dianugerahkan sepakan penalti. Ini selepas VAR mengesan Teerasil Dangda menarik Issam dalam kotak penalti pada minit ke-37.
Pada awalnya, Patiwat Khammai berjaya menepis penalti pemain Tunisia itu. Itu tidak menghalang Issam membuat percubaan susulan bagi memastikan Gamba mendahului 2-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Gamba terus memberi tekanan kepada Bangkok United untuk memburu gol tambahan.
Issam hampir menambah derita tuan rumah menerusi percubaan pada minit ke-58. Malangnya, percubaan bekas pemain Odense BK itu tidak menepati sasaran.
Bangkok United kemudiannya memasukkan bekas penyerang Lion City Sailors (LCS), Richairo Zivkovic untuk menambah sengat di bahagian serangan.
Malangnya, itu tidak cukup untuk menghalang Gamba meraih kemenangan 3-0 pada akhir permainan. Gol Ryotaro Meshino pada minit ke-82 memastikan Gamba menang dengan agregat 3-1.
Wakil Jepun itu kini menunggu siapa pasukan dari sektor Barat sebagai lawan mereka di pentas final.
Meskipun tewas, bek tengah Bangkok United, Philippe Maia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Maia mendapat 7.9, 0.1 mata di hadapan Yamashita.