Pengurus England, Gareth Southgate mengakui keputusan meletakkan bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold di bahagian tengah sebagai satu eksperimen.
Selepas dua aksi Kumpulan C EURO 2024, England telah mengumpul empat mata dan sekadar menjaringkan dua gol.
Ramai penyokong England percaya perkara ini berlaku disebabkan kedegilan Southgate yang meletakkan Alexander-Arnold di bahagian tengah bersama Declan Rice dan Jude Bellingham.
Keadaan ini menyebabkan bahagian tengah The Three Lions tidak stabil di mana pemain tidak dapat beroperasi mengikut peranan asal mereka.
Dan selepas perlawanan England-Denmark semalam, Southgate mengakui keputusan meletakkan Alexander-Arnold di bahagian tengah bertujuan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kalvin Phillips.
“Beliau ada beberapa detik di mana beliau telah menyumbang apa yang kita fikir beliau akan lakukan.
“Kita tahu ini satu eksperimen dan kita tidak ada pengganti semulajadi untuk Kalvin Phillips tapi kita mencuba perkara berbeza dan pada ketika ini, permainan kita tidak lancar seperti yang kita mahukan, itu sudah pasti,” katanya kepada BBC Sport.
Walau bagaimanapun, komen Southgate dibidas legenda Arsenal, Ian Wright. Ini kerana The Three Lions memiliki dua pemain alternatif iaitu Kobbie Mainoo dan Adam Wharton.
Dengan baki satu lagi aksi kumpulan, Wright menggesa perubahan drastik dibuat atau England berdepan kemungkinan tersingkir di peringkat kumpulan.
“(Kita) dengar daripada Gareth (Southgate), beliau menyebut tentang Kalvin Phillips dan beliau satu-satunya dalam negara yang boleh bermain peranan itu, saya tak percayakannya.
“Saya percaya Adam Wharton boleh bermain di situ. Saya fikir Kobbie Mainoo juga boleh bermain di situ. Anda yang memilih mereka.
“Sekarang kita dalam situasi yang tidak terdesak kerana kita ada empat mata tetapi kita berada di satu tempat yang memerlukan kita melakukan perkara berbeza, kita perlu ubah sesuatu,” katanya seperti yang dilaporkan Daily Mail.
England akan turun menentang Slovenia untuk aksi terakhir Kumpulan C pada awal pagi 26 Jun.