Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo mencuri perhatian ramai dengan melayan kerenah pemain-pemain cilik Jepun termasuk mencipta dua bantuan gol.
Ini merupakan sebahagian daripada program kem bola sepak anjuran Al-Nassr buat pemain-pemain cilik Negara Matahari Terbit itu.
Ketika ini, Al-Nassr berada di Jepun untuk jelajah pra-musim sebelum mengharungi musim baru Saudi Pro League yang akan bermula pada bulan hadapan.
Bekas penyerang Manchester United itu kelihatan ceria dan tidak kekok bertukar hantaran dengan pemain-pemain cilik ini sebelum mereka menjaringkan gol.
Selain Ronaldo, program ini turut dihadiri beberapa pemain Al-Alami termasuk pemain terbaru kelab berkenaan, Alex Telles.
Al-Nassr meneruskan program pra-musim mereka dengan turun menentang Paris Saint-Germain di Stadium Nagai petang ini.
Perlawanan ini akan menjadi tumpuan ramai lebih-lebih lagi selepas PSG menerima bidaan berjumlah €300 juta (RM1.5 bilion) daripada Al-Hilal bagi mendapatkan Kylian Mbappe semalam.