Advertisements
“Gembira Dengan Kemenangan Lakshya Sen” – Lee Zii Jia
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuka mulut mengenai kekalahan beliau di tangan wakil India, Lakshya Sen dalam aksi suku akhir All England semalam.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan semalam akui agak kecewa tidak berjaya memenangi perlawanan tersebut dan berpuas hati sudah memberikan aksi yang terbaik.

”Ya, saya akui sedikit kecewa juga dan awak tahu, saya ada peluang untuk memenangi perlawanan. Apa-apa pun saya telah lakukan yang terbaik dan saya rasakan saya bermain dengan baik menentang Lakshya (Sen),” katanya kepada Astro Arena.

Pemain berusia 26 tahun ini turut menumpang gembira buat lawannya, Lakshya Sen yang sudah menemui prestasi sebenar beliau selepas bergelut beberapa tahun belakangan ini.

”Saya juga merasakan dia sudah kembali ke prestasi terbaiknya seperti yang kita boleh lihat dan saya gembira untuknya. Dia juga bergelut belakangan ini dan saya gembira dia sudah kembali,”

Meskipun gagal meneruskan kemaraan, Zii Jia cuba melihat kekalahan ini dari sudut positif dan bakal kembali lebih kuat di kejohanan-kejohanan mendatang.

“Walaupun saya tak berjaya melayakkan diri ke separuh akhir, tetapi sekurang-kurangnya perlawanan yang saya mainkan sepanjang minggu di Seluruh England, saya fikir ia adalah perkara positif yang boleh kita lihat di masa datang nanti.

Aksi semalam menyaksikan Lakshya Sen berjaya menghentikan kemaraan jaguh negara itu apabila bangkit memenangi set kedua dan set ketiga untuk menempah tiket ke separuh akhir All England.

Di separuh nanti, Sen akan berdepan cabaran wakil Indonesia, Jonatan Christie yang lolos setelah lawannya Shi Yu Qi dari China menarik diri akibat kecederaan.

Manakala Zii Jia akan meneruskan perjalanan memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris dengan kejohanan seterusnya adalah di Terbuka Switzerland pada minggu hadapan.