Perjalanan musim 2023 pasukan Sabah FC mencuri tumpuan apabila difahamkan akan berdepan kelab gergasi Eropah, Olympiacos FC pada 19 Julai ini.
The Rhinos masih segar meraikan kemenangan besar 4-0 di laman sendiri selepas menumpaskan Sri Pahang.
Perlawanan tersebut juga menjadi aksi terakhir buat lagenda bola sepak negara, Baddrol Bakhtiar yang membuat keputusan untuk tidak lagi bersama Sabah.
Perkhabaran mengejutkan lain pula menyusul selepas anak didik Ong Kim Swee dikhabarkan akan berdepan kelab yang berpangkalan di Greece, Olympiacos.
Berdasarkan jadual perlawanan kedua-dua pasukan yang dinyatakan di laman carian Google, aksi berikutnya bagi Sabah FC adalah berdepan Olympiacos pada 19 Julai ini.
Hal ini susulan terdapat rehat yang agak lama sebelum mereka berkunjung ke Petaling Jaya bagi menghadapi Selangor sekaligus menimbulkan pelbagai tanggapan bahawa pasukan Liga Super mencari pasukan untuk berentap.

Sekiranya perlawanan ini benar-benar terjadi, ia sudah pasti menjadi perkhabaran terbesar buat bola sepak Sabah dan Malaysia.
Aksi ini juga boleh diandaikan sebagai persediaan terbaik bagi menghadapi Piala AFC dengan undian kumpulan akan dijalankan pada Ogos ini.
Sabah berada dalam balang 3 bersama-sama wakil Filipina dan Myanmar, Stallion Laguna dan Shan United.

Walau bagaimanapun, menerusi sumber dari Sabah FC menyatakan bahawa perkara ini mungkin tidak menjadi kenyataan disebabkan aksi liga sedang berjalan.
Keadaan ini berbeza dengan situasi JDT yang pernah mengadakan aksi persahabatan dengan kelab Singapura, Albirex Niigata ketika aksi liga dihentikan sekitar dua minggu.
Ketika ini, Sabah berada pada kedudukan ke-5 Liga Super dengan 33 mata selepas mencatatkan 10 kemenangan, 3 seri dan 4 kekalahan setakat 17 perlawanan.
Sabah yang dimaksudkan ini bagaimanapun merujuk kepada kelab yang berpangkalan di Azerbaijan yang dijadualkan bakal berdepan Olympiacos pada hari berkenaan.
