Legenda bola sepak Sarawak, Abdul Jalil Ramli mendedahkan Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan sudah memiliki kualiti seorang pemimpin sejak bergelar pemain lagi.
Pandangan itu dibuat bekas jurulatih Sarawak itu apabila ditanya tentang kualiti yang dimiliki legenda bola sepak Negeri Sembilan itu.
Jalil cukup mengenali Ab Ghani ketika kedua-duanya aktif sebagai pemain di atas padang. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang yang mudah disenangi rakan-rakan sepasukan.
Malah, legenda Sarawak itu turut mendedahkan Ab Ghani memiliki disiplin tinggi dan sentiasa didorong oleh semangat tidak mudah berputus asa.
“Semasa kami bersama-sama bermain walaupun berlainan pasukan dahulu, beliau memang seorang yang mempunyai karakter yang baik dan disenangi semua orang.
“Tak mudah juga nak lawan beliau di atas padang sebab beliau main sebagai penyerang, seorang yang berdisiplin dan satu perkara yang saya masih ingat tentang dirinya ialah semangatnya yang tidak mudah berputus asa, terutamanya ada ketika waktu itu pasukan beliau tengah jatuh dan nak bangkit balik,” katanya.
Jalil juga percaya kualiti kepimpinan yang dimiliki Ab Ghani bakal membantu beliau sekiranya terpilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Sudah tentu saya berasa bangga dan berbesar hati melihat perjalanan beliau sebab bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.
“Daripada seorang bekas pemain, kemudian beliau melalui perjalanan dalam dunia pentadbiran bola sepak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) sebelum menjadi Presiden MFL.
“Sekarang, beliau sebagai calon Presiden FAM dan bagi saya, ia satu perjalanan yang cukup membanggakan. Saya percaya dengan peribadi disiplin dan komitmen tingginya sebagai bekas pemain sebelum ini sedikit sebanyak membantunya menerajui organisasi bola sepak terbesar tanah air,” tambahnya.
Ab Ghani bakal berdepan cabaran Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk merebut kerusi panas berkenaan.