Shahril Mokhtar Umum Manifesto Presiden FAM
MakanBola
FA Selangor

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mengumumkan manifesto beliau sekiranya terpilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Manifesto tersebut diumumkan sehari selepas namanya antara dua calon yang bakal merebut kerusi panas tersebut. Selain Shahril, Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan turut tercalon untuk merebut jawatan Presiden FAM.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan meskipun berstatus calon bukan pilihan, bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM itu dilihat serius membawa agenda perubahan menerusi manifestonya.

“Tak tunggu lama, calon ‘underdog’ Datuk Seri Shahril Mokhtar terus tampil dengan manifesto menjelang pertembungan satu lawan satu dengan Datuk Ab Ghani Hassan bagi merebut jawatan Presiden FAM,” katanya di X.

Manifesto ini juga dilihat menyahut seruan bekas pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar. Kamarul Ariffin menggesa semua calon bertanding dalam pemilihan FAM agar mengemukakan manifesto buat ahli-ahli gabungan.

Shahril mengemukakan lima tawaran kepada ahli gabungan sekiranya terpilih sebagai Presiden FAM. Antara tawaran tersebut ialah pengurusan FAM yang bersifat telus dan profesional, memperkasakan ahli gabungan dan membuat pelaburan untuk akar umbi.

Selain itu, beliau juga membawa agenda visi dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan teknikal serta ekosistem dan kewangan mampan buat badan induk itu.

Shahril turut mengetengahkan pengalaman beliau dalam dunia korporat dan bola sepak negara terutama sebagai Timbalan Presiden FAS.

Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk baki penggal 2025 hingga 2029 akan diadakan pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 pada 17 September ini.