Ghani Hassan: Ini Amanah Bawa Bola Sepak Malaysia Ke Arah Lebih Baik
MakanBola
MFL

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas pencalonan untuk merebut jawatan Presiden FAM.

Ghani melihat pencalonan ini bukan sekadar soal jawatan semata-mata. Malah, beliau melihat pencalonan ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar untuk bersama sama membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih baik.

“Bagi saya, pencalonan ini bukan soal kedudukan atau jawatan semata mata, tetapi satu amanah dan tanggungjawab besar untuk bersama sama membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik.

“Saya melihat masih banyak ruang yang boleh kita perbaiki, khususnya dari aspek tadbir urus, pembangunan bola sepak, pengurusan pertandingan serta usaha memastikan kepentingan semua pihak dalam ekosistem bola sepak negara dapat diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.

Ghani memaklumkan seandainya terpilih sebagai Presiden FAM, beliau akan membawa pendekatan lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama.

Pada masa sama, beliau mahu memberi ruang kepada proses pemilihan untuk berjalan terlebih dahulu. Ghani melihat menerusi pemilihan ini, para ahli gabungan dapat menilai dan memilih siapa calon terbaik yang membentuk barisan kepimpinan FAM yang baharu.

“Jika diberi kepercayaan, saya mahu membawa pendekatan yang lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama. Kita perlu duduk bersama, mendengar pandangan semua pihak dan mencari penyelesaian terbaik untuk masa depan bola sepak negara,” ujarnya.

“Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap terlalu jauh mengenai apa yang akan dilakukan. Saya mahu menghormati proses pemilihan terlebih dahulu dan memberi ruang kepada ahli gabungan untuk membuat penilaian serta keputusan mereka.

“Apa yang penting, saya tampil dengan niat untuk berkhidmat dan menyumbang pengalaman yang ada demi kepentingan bola sepak Malaysia. Saya berharap proses pemilihan ini berjalan dengan baik dan akhirnya kita dapat membina satu kepimpinan yang mampu membawa FAM ke arah yang lebih kukuh, stabil dan diyakini.”

Ghani bakal berdepan cabaran Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk kerusi panas tersebut.