Pertahanan kental Kuala Lumpur City (KL City) FC, Giancarlo Gallifuoco meluahkan rasa hampa selepas pasukannya terikat 3-3 dengan Terengganu di laman sendiri.
Keputusan ini diburukkan lagi apabila The City Boys mendahului permainan dengan kelebihan dua jaringan sebelum terikat menerusi dua gol lawan.
Mengulas lanjut, pemain kelahiran Australia ini mengakui pasukannya tidak memanfaatkan kelebihan gol yang dimiliki untuk memungut tiga mata di laman sendiri.
Katanya, sungguhpun perlawanan bermula dengan baik, kegagalan anak didik Bojan Hodak untuk mengekalkan tempo dengan baik mengundang padah.
“Kita (KL City) bermula dengan baik namun mereka lebih dahagakan kemenangan daripada kita. Mereka layak untuk meperoleh dua jaringan tersebut kerana mereka bersaing lebih daripada kita.”
“Secara tiba-tiba keputusan menjadi 3-3 dan kita mula mengawal permainan semula. Ada 20 minit dalam permainan yang kita (KL City) tertidur,” jelasnya selepas perlawanan tadi.
Beliau bagaimanapun berbangga dengan perkhabaran daripada beberapa rakan sepasukannya yang sudah pun pulih daripada kecederaan.
“Satu perkhabaran yang baik untuk mendapat semula keluarga KL City. Kita makan dan berlatih bersama, sudah tentu saya gembira.”
Jaringan daripada Paulo Josue, Giancarlo dan juga Romel Morales tidak cukup untuk mengesahkan kemenangan buat tuan rumah.
KL City akan berdepan Negeri Sembilan menjelang aksi final Piala FA menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim.