Giancarlo Gallifuoco Tunggu Panggilan Peter Cklamovski Setiap Hari
MakanBola
KL CITY

Pertahanan kental KL City, Giancarlo Gallifuoco tidak berselindung menyatakan keterujaan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan namun mengakui beliau harus bersabar dan menunggu waktu dan peluang bagi memastikan hasratnya itu tercapai.

Namun begitu, beliau juga tampil dengan penuh keyakinan untuk menyatakan bahawa beliau sememangnya sudah bersedia jika Malaysia mahukan khidmatnya sambil mengakui impian beraksi buat pasukan negara adalah salah satu daripada keinginan beliau.

Pemain kelahiran Australia itu menjadi tonggak penting bersama The City Boys memasuki musim ke-5 bersama pasukan. Beliau sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya di atas padang demi memastikan KL City kekal sebagai pencabar utama dalam setiap kejuaraan pada setiap musim.

Perlawanan menentang Melaka di Stadium Cheras pada 7 Mac 2026 bukan sekadar aksi liga biasa, sebaliknya menjadi detik bersejarah apabila bekas pemain Tottenham Hotspur itu mencatatkan penampilan ke-100 bersama kelab Ibu Kota.

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara prospek paling bersinar untuk memperkuat barisan pertahanan Harimau Malaya menerusi proses naturalisasi.

Menanti peluang menyarung jersi kebangsaan bukan sekadar impian, tetapi satu perjalanan penuh kesabaran dan harapan buat setiap pemain yang ingin mencurahkan khidmat diri kepada negara.

Bagi Giancarlo Gallifuoco, detik yang dinanti-nantikan itu kini semakin hampir selepas melalui proses panjang naturalisasi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya bersama Harimau Malaya.

“Saya menatap telefon setiap hari dengan penuh harapan agar menerima panggilan daripada Peter Cklamovski. Setelah hampir setahun melalui proses perbincangan mengenai naturalisasi, saat yang dinanti-nantikan itu kini semakin hampir. Ia merupakan satu penghargaan yang amat besar buat saya.”

“Sekiranya diberi peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya buat kali pertama, saya berazam untuk memanfaatkan setiap peluang yang ada dan beraksi sebaik mungkin. Saya berjanji akan memberikan sepenuh komitmen demi membanggakan penyokong Malaysia,” kata Giancarlo Gallifuoco ketika ditemu bual oleh Astro Arena.

Giancarlo Gallifuoco, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo merupakan antara pemain yang dijangka menyarung jersi kebangsaan menerusi proses naturalisasi pada tahun ini, selepas melengkapkan tempoh lima tahun beraksi di Malaysia.