Giliran Laos Kejutkan Skuad Muda Thailand
MakanBola
Changsuek

Skuad Thailand Bawah 17 Tahun (B-17) mengucapkan selamat tinggal kepada Kejuaraan B-17 ASEAN apabila tewas mengejut kepada Laos.

Selepas tewas kepada Myanmar baru-baru ini, Thailand perlu menang ke atas Laos jika ingin layak ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.

Wiphusit Srichan terlebih dahulu meletakkan Thailand di hadapan pada separuh masa pertama.

Permainan semakin rancak apabila permainan kembali bersambung selepas rehat. Anulak Singsawang menyamakan kedudukan pada minit ke-53.

Thailand kembali mendahului pada minit ke-62 menerusi Perez Aves Kelly Kuaquou. Sisombat Wilaison muncul wira dengan meledakkan dua gol pada minit ke-71 dan 76.

Kemenangan ini sudah cukup mengesahkan kemaraan Laos ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B. Thailand pula mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan itu dengan menduduki tempat ketiga.

Kemaraan Laos juga dijangka menjanjikan cabaran buat mana-mana pasukan yang layak selaku naib juara kumpulan terbaik. Posisi itu kini menjadi rebutan Singapura dan Malaysia.

Seandainya Malaysia berjaya menewaskan Timor Leste dalam aksi terakhir Kumpulan A pada 19 April, skuad negara berpotensi mara selaku naib juara kumpulan terbaik.

Ini kerana Singapura hanya mengumpul empat mata selepas tamat kempen Kumpulan C. Justeru, anak buah Shukor Adan perlu menewaskan Timor Leste jika ingin mara ke separuh akhir.

Laos akan menanti naib juara kumpulan terbaik sebagai lawan di peringkat separuh akhir pada 22 April.