Jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei memberi bayangan tahun 2025 merupakan tahun terakhirnya beraksi di atas gelanggang.
Perkara itu dikongsikan pemain berusia 24 tahun itu selepas beliau terkandas di pusingan pertama Malaysia Open 2025.
Jin Wei tewas kepada pemain India, Malvika Bansod dengan keputusan 21-15, 21-16.
Kekalahan itu menyaksikan Jin Wei tidak dapat mengulangi pencapaian mara ke pusingan kedua kejohanan yang direkodkan dalam edisi 2024.
Atas sebab itu, bekas juara remaja dunia 2018 itu memberi bayangan tahun 2025 merupakan tahun terakhirnya aktif di gelanggang sebelum bersara.
“Pelan saya pada tahun ini ialah mencuba macam tahun ini tahun terakhir. Kalau tak berhasil, mungkin itu saja yang saya mampu,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Sebelum ini, Jin Wei pernah mengumumkan persaraan pada 2021 selepas menjalani pembedahan kolektomi pada 2019.
Beliau kemudiannya kembali ke gelanggang setahun selepas itu dan sentiasa berusaha mempamerkan aksi terbaik di gelanggang. Kesungguhan Jin Wei membantunya layak ke Sukan Olimpik 2024.