Gol pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Ager Aketxe antara calon gol terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2025/26.
Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan senarai calon gol yang terpilih untuk anugerah gol terbaik kejohanan musim ini.
Nama Aketxe menjadi sebutan apabila menjaringkan gol cantik ketika JDT menentang Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pertama pusingan 16 ACLE pada 4 Mac lalu.
Selepas menerima hantaran Nacho Mendez, bekas pemain Athletic Bilbao itu melepaskan rembatan lencong yang menerjah penjuru atas jaring Sanfrecce.
Gol tersebut memastikan JDT meraih kemenangan 3-1 ke atas kelab Jepun itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). JDT kemudiannya mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 3-2 meskipun tewas 1-0 dalam aksi timbal balik.
Aketxe dijangka berdepan saingan hebat untuk merebut anugerah gol terbaik ACLE musim ini. Beliau dijangka dicabar bekas bintang Manchester City, Riyad Mahrez dan bintang muda Thailand, Suphanat Mueanta.
Turut tersenarai penyerang tinggi lampai Australia, Tete Yengi, bintang Al-Ahli, Galeno, jeneral tengah VIssel Kobe, Yosuke Ideguchi dan pemain pertahanan Al-Hilal, Theo Hernandez.
Peminat bola sepak negara yang mahu mengundi gol Aketxe sebagai gol terbaik ACLE musim ini boleh pergi ke laman sesawang AFC. Undian ditutup pada 4 Mei, jam 5.00 petang.