Advertisement
Gol Turki Mirip Jaringan Indra Putra Berdepan Singapura 10 Tahun Lalu
Eropah
MakanBola
Milli Takimlar

Satu momen di mana salah satu jaringan Turki dalam aksi Euro 2024 mengingatkan kembali memori rakyat Malaysia tentang gol Indra Putra ketika berdepan Singapura pada tahun 2014.

Turki turun dalam perlawanan pertama mereka dalam kumpulan F bagi kempen Euro 2024 menentang Georgia yang melakukan penampilan pertama di pentas kejohanan benua ini.

Dalam aksi tersebut, Turki terlebih dahulu di hadapan menerusi voli cantik Mert Muldur pada minit ke-25 sebelum Georges Mikautadze menyamakan kedudukan buat Georgia tujuh minit kemudian.

Bintang muda Real Madrid, Arda Guler meletakkan Turki kembali mendahului menerusi rembatan jarak jauh yang memukau penyokong yang hadir ke stadium sebelum gol Kerem Akturkoglu hasil serang balas pantas memastikan kemenangan buat Bizim Çocuklar.

Apa yang mencuri tumpuan, gol ketiga Turki tersebut dilihat seakan-akan jaringan yang pernah dilakukan oleh penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahyuddin ketika menentang Singapura pada 10 tahun yang lalu.

Indra Putra menjaringkan gol tersebut dalam aksi Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Singapura yang mana ketika itu Malaysia menundukkan tuan rumah dengan keputusan 3-1 menerusi gol Safee Sali, Safiq Rahim dan Indra sendiri.

Jaringan tersebut terhasil ketika tuan rumah yang terdesak mencari gol berjaya mendapatkan sepakan percuma yng menyaksikan hampir kesemua pemain berkumpul di dalam kotak penalti Malaysia termasuklah penjaga gol Singapura, Hassan Sunny.

Walau bagaimanapun, barisan pertahanan negara cemerlang mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan Indra Putra yang tidak dikawal berjaya mendapatkan bola sebelum beliau mudah menolak bola ke gawang Singapura yang kosong tanpa penjaga gol.

Skrip seakan sama turut berlaku ketika Turki menjaringkan gol ketiga yang mana Kerem Akturkoglu berjaya merampas bola sebelum membawanya ke arah gawang Georgia yang kosong tanpa penjaga gol, Giorgi Mamardashvili yang naik ke atas bagi membantu bahagian serangan.

Hasil kemenangan ini, Turki kini gah memimpin carta kumpulan F dengan tiga mata, berkongsi mata bersama Portugal yang turut mencatatkan kemenangan ke atas Czech Republik, namun dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Aksi seterusnya menyaksikan Turkey bakal berhadapan dengan juara edisi 2016, Portugal di Signal Iduna Park sementara Georgia akan menentang Czech Republik di Volksparkstadion pada Sabtu ini.

Tonton sorotan perlawanan Malaysia menentang Singapura pada tahun 2014: Di sini.