Ketua jurulatih Manchester City, Pep Guardiola berdukacita dengan penyerang sensasi pasukannya, Erling Haaland setelah mencatat kemenangan 4-0 ke atas Southampton semalam.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu terus memberi kepercayaan kepada bintang muda Norway itu untuk bergandingan bersama Phil Foden dan juga Riyad Mahrez pada bahagian serangan.
Pemain berusia 22 tahun itu sudah pun menjaringkan gol dalam kesemua 10 penampilan terakhirnya termasuklah meledak hatrik dalam 3 perlawanan terakhir di laman sendiri.
Walau bagaimanapun, dalam perlawanan ini, beliau gagal mengekalkan rekod jaringan tersebut selepas satu percubaan beliau singgah di tiang gol dan salah faham bersama Kevin De Bruyne telah melepaskan peluang mencipta hatrik.
Guardiola dalam satu kenyataan menegaskan bahawa beliau kecewa dengan Haaland.
“Saya sangat berdukacita dengan beliau (Haaland). Dia tidak menjaringkan tiga gol. Sebab itulah adanya petisyen untuk menyingikirkan beliau dari EPL,” jelasnya sambil berseloroh.
Bekas jurulatih Barcelona itu mengakui harapan semakin menggunung buat penyerang tinggi lampai itu terus meledak dua atau tiga gol dalam setiap perlawanan.
Walau bagaimanapun, Pep tetap memuji persembahan Haaland yang memainkan peranan yang penting di atas padang.
Manchester City kini sedang mendahului carta EPL selepas 9 perlawanan dengan 23 mata dan bakal bertemu Liverpool minggu hadapan.