Kelab Korea Selatan, Gwangju FC tidak menjalani sebarang latihan istimewa sebelum menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa.
Perkara tersebut disuarakan oleh penjaga gol utama Gwangju, Kim Kyeong-min yang berpendapat Gwangju hanya memfokuskan untuk memberikan satu permainan bola sepak yang sempurna dalam perlawanan tersebut.
“(Gwangju) tiada sebarang persiapan yang istimewa untuk ACLE (bertemu JDT). Seperti selalu, kami bekerja keras untuk meningkatkan kesempurnaan dalam permainan yang kami ingin terapkan,” ujar Kyeong-min kepada MK Sports.
Dalam masa yang sama, Kyeong-min akui tidak risau mengenai keadaan padang Stadium Yongin yang bukannya gelanggang yang menjadi kebiasaan buat semua pemain Gwangju.
Bagi Kyeong-min, selagi mana pemain Gwangju dapat memberikan kualiti permainan yang baik bertemu JDT, tidak mustahil Gwangju akan membawa kejayaan.
“Saya tidak biasa dengan (keadaan) Stadium Yongin. Bagaimanapun, jika kami bermain seperti yang kami rancangkan, kami akan dapat membawa keputusan yang baik,” jelasnya lagi.
Aksi Gwangju dan JDT itu terpaksa dipindahkan 234 kilometer dari lokasi asal dan para penyokong memberikan andaian bahawa perubahan venue itu adalah disebabkan keadaan padang yang teruk di Stadium Gwangju.