Penyerang PDRM FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak menggesa pasukan itu melupakan kekecewaan tewas kepada Negeri Sembilan FC dan kembali fokus kepada saingan liga.
The Cops hampa apabila pasukan itu tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Malaysia di tangan skuad Jang. Negeri Sembilan bangkit meraih kemenangan 3-0 ke atas PDRM dalam aksi kedua pada 29 November lalu.
Hadin Azman, A. Selvan dan jaringan sendiri Eizrul Ashraf Nor Effendy memastikan skuad Rusa ke suku akhir dengan kemenangan agregat 4-2. Kekalahan ini turut menyebabkan PDRM kembali bersaing dalam saingan MFL Challenge Cup.
Hadi mengakui kekalahan di tangan Negeri Sembilan cukup mengecewakan. Pada masa sama, The Cops sudah melupakan kekecewaan tersebut dan kembali fokus untuk aksi liga menentang Penang FC.
“Memang kita sudah bersedia, kita sudah buat persiapan dari segi latihan apa semua. Walaupun kita tewas dalam aksi terakhir, kita sudah lupakan.
“Kita akan bangkit semula dengan lebih kuat dan dapatkan tiga mata dan tebus balik apa yang lepas. Kita nak lakukan yang terbaik untuk perlawanan menentang Penang.
“Saya harap pemain dapat beri 100% dan beraksi dengan baik. Apa-apa boleh jadi, kita ada 90 minit. Yang paling penting dalam 90 minit itu, kita kena bagi yang terbaiklah sebab dalam bola sepak, apa saja boleh terjadi,” katanya kepada Nadi Arena.
Hadi turut berharap menambah satu gol yang direkodkan bila menentang Negeri Sembilan pada 24 November.
“Tak kisahlah (sama ada) saya jaringkan gol atau tidak. Sebagai penyerang, saya memang nak menjaringkan gol. Yang paling penting sekali, saya nak dapatkan tiga mata dan bawa balik mata dari Penang,” ujarnya.
PDRM bakal berdepan tugas sukar kerana Penang kini dibimbing jurulatih lama mereka, Wan Rohaimi Wan Ismail. Wan Rohaimi pernah membimbing The Cops dari 2021 hingga 2022.
Selepas dilantik sebagai pengganti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, bekas penyerang kebangsaan itu juga mengintai kemenangan pertama sebagai pengendali Harimau Kumbang. The Cops bakal menentang Penang pada 4 Disember di Stadium Bandaraya.