“Hadiah Hari Lahir Saya Kalahkan Perancis” – Lamine Yamal
MakanBola
SeFutbol

Lamine Yamal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19 pada hari Ahad dengan satu impian besar iaitu membantu Sepanyol menewaskan Perancis sekali gus mara ke final Piala Dunia 2026.

The Straits Times melaporkan bahawa Lamine Yamal menyifatkan pertemuan menentang Perancis sebagai “perlawanan paling penting dalam hidup saya”. Namun, pemain muda Sepanyol itu tidak bimbang dengan rekod satu golnya setakat ini dan hanya mahu membantu pasukan terus meraih kemenangan.

Fabrizio Romano turut berkongsi kenyataan Lamine Yamal menerusi ciapan di X menjelang aksi separuh akhir menentang Perancis.

“Hasrat hari jadi saya adalah untuk menewaskan Perancis. Saya tidak risau kerana baru menjaringkan satu gol. Selagi kami terus menang, itu yang paling penting. Saya harap kami dapat terus mara supaya saya mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol,” kata Yamal.

Pemain Barcelona itu turut menyeru agar bola sepak menjadi medium penyatuan, sambil menyifatkan Sepanyol dan Perancis sebagai contoh masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian.

Sementara itu, jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, meminta Yamal supaya tidak dibebani tekanan menjelang aksi tersebut dan hanya menikmati detik bersejarah itu.

“Saya sudah beritahu dia supaya tidak risau dan menikmati permainan. Saya harap hari terbaik Lamine di Piala Dunia akan tiba menentang Perancis atau di final jika kami berjaya mara,” kata De la Fuente.

Beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya berhati-hati dengan kekuatan serangan balas Perancis yang diterajui Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise, sambil menegaskan pasukannya perlu mengekalkan identiti permainan sendiri untuk memburu kemenangan.

Sepanyol bakal berdepan Perancis pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 di Dallas pada pukul 3 pagi esok bagi merebut tempat ke final, dengan kedua-dua pasukan memburu peluang untuk menentang pemenang satu lagi separuh akhir antara England dan Argentina.