Pemain Akademi Hijau Kuning Football Club (HKFC), Muhammad Hafiy Hamdan difahamkan sudah berada di Sepanyol untuk menjalani latihan bersama kelab Divisyen ke-2 Sepanyol, Granada CF.
Hafiy merupakan pemain muda yang beraksi di posisi penyerang dan perancangan untuk menghantar beliau menimba ilmu di Sepanyol sememangnya sudah dirancang sejak awal lagi.
Pemain muda berusia 17 tahun dari Kedah itu bakal menjalani latihan di akademi bermula dengan lawatan suai kenal selama seminggu dan kemudian menyambung semula latihan pada Mac tahun depan.
Teruja selepas terpilih untuk program latihan di Sepanyol, Hafiy memanjatkan rasa syukur dan bersemangat untuk mengembangkan cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada HKFC kerana dapat menimba pengalaman berharga melalui program yang disusun oleh HKFC bersama akademi di Sepanyol ini termasuk peluang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi di luar negara.
“Saya memang bercita-cita menjadi seorang pemain bola sepak profesional dan peluang diperingkat terbaik ini akan saya gunakan untuk mencapai kejayaan saya di masa depan,” katanya kepada Arena Metro.
Untuk rekod, HKFC merupakan sebuah akademi bola sepak di Kedah yang mengusahakan projek pembangunan bola sepak dari akar umbi dengan penglibatan pelbagai peringkat umur untuk anak-anak muda di negeri Kedah.