Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mengekalkan momentum cemerlang apabila meraih tempat kedua dalam perlumbaan kedua Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 di Sepang.
Selepas meraih tempat kedua dalam perlumbaan pertama Asia Superbike 1000 (ASB1000) pada 31 Mei lalu, momentum itu mahu dikekalkan bekas jaguh MotoGP itu.
Perlumbaan kedua bermula mengikut posisi kelayakan yang diraih pada hari sebelumnya. Hafizh memulakan perlumbaan di tempat kedua di belakang jaguh Thailand, Apiwath Wongthananon.
Sebaik perlumbaan bermula, Apiwath mula dicabar pemenang perlumbaan pertama ASB1000 dan pelumba Malaysia, Azroy Hakeem Anuar untuk gelaran peneraju perlumbaan.
Kesilapan Azroy Hakeem menyebabkan beliau jatuh ke tangga keempat. Ini membuka ruang buat Hafizh memintas Apiwath dan mendahului perlumbaan.
Walau bagaimanapun, kelebihan yang dimiliki beliau hanya bertahan selama beberapa pusingan. Azroy Hakeem yang mewakili Idemitsu Honda Racing Malaysia memintas Hafizh pada pusingan ketiga.
Hafizh mengekori rapat Azroy Hakeem untuk memburu kemenangan sulung tahun 2025 tetapi tidak berhasil. Ini memastikan kemenangan milik rakan senegaranya itu.
Pelumba Jepun, Keito Abe memastikan tempat ketiga menjadi miliknya selepas dicabar beberapa pelumba lain termasuk Nakarin Atiratphuvapat.
Meskipun meraih tempat kedua, itu sudah cukup buat Hafizh merapatkan jurang mata dengan Azroy Hakeem dan Nakarin.
Beliau mengutip 67 mata dengan Azroy Hakeem dan Nakarin masing-masing meraih 71 dan 70 mata. Dua kemenangan di Sepang membolehkan gelaran pendahulu keseluruhan ASB1000 jatuh kepada pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu.
Selepas ini, saingan ARRC 2025 diteruskan di Motegi, Jepun dari 11 hingga 13 Julai ini.