Advertisement
Hakim Ziyech Tersisih Dari Skuad Maghribi Kerana Pertahan Palestin?
Eropah
MakanBola
Equipe du Maroc

Ramai peminat bola sepak merasa marah apabila nama Hakim Ziyech tersisih daripada skuad kebangsaan Maghribi baru-baru ini.

Berdasarkan semakan pasukan yang mengharungi pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 pada Oktober, nama bekas bintang Chelsea itu tidak tersenarai.

Ini membuatkan ramai peminat bola sepak percaya nama Ziyech disisihkan kerana terus setia menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Selain mengecam kekejaman rejim Israel, Ziyech turut mengecam kerajaan Maghribi yang disifatkannya bersubahat atas apa yang berlaku.

“Mari kita jelaskan satu perkara! Terkutuklah Israel dan setiap negara yang menyokong tindakan sebegitu. Palestin merdeka.

“(Hantaran terakhir saya) juga ditujukan kepada kerajaan kita (kerajaan Maghribi) yang menyokong pembunuhan beramai-ramai dan semua negara yang menyokongnya,” katanya dalam beberapa hantaran di Instagram.

Hantaran-hantaran tersebut kemudiannya dipadamkan Ziyech di platform Instagram tidak lama selepas itu. Meskipun hantaran beliau itu telah dipadam, ramai menganggap ini punca bintang Galatasaray itu disisihkan jurulatih, Walid Regragui.

Hakikatnya, Ziyech tidak menyertai skuad Maghribi kerana mengalami kecederaan pada September lalu. Kecederaan itu menghalangnya daripada menyertai pasukan ke-14 dunia itu dalam kalendar antarabangsa FIFA baru-baru ini.

Malah, beliau baru kembali membuat kemunculan sebagai pemain gantian dalam aksi menentang Antalyaspor pada 19 Oktober lalu. Ziyech masuk menggantikan Dries Merten pada minit ke-71.

Fennec Football turut melaporkan Regragui merancang mengadakan siri pertemuan dengan pemain-pemain Maghribi yang tidak melapor diri akibat kecederaan termasuk Ziyech.

Ini bagi memastikan usaha pasukan itu untuk layak ke AFCON 2025 tetap berada pada landasan yang betul.