Hamidin Harap Peluang Beraksi Buat Malaysia Tidak Disia-Siakan Pemain
MakanBola
FA Malaysia

Peluang beraksi untuk negara merupakan satu penghormatan yang tidak boleh dilepaskan begitu saja. Atas sebab itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berharap peluang itu dapat dimanfaatkan oleh skuad Harimau Malaya B-17 dan Malayan Tigress.

Kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri dengan skuad B-17 memburu sasaran ke suku akhir Piala Asia B-17. Sementara Malayan Tigress pula mahu melakar pencapaian lebih baik di Sukan SEA 2023 untuk acara bola sepak wanita.

Ad

Skuad Harimau Malaya B-17 bakal menjalani latihan di Akademi Aspire di Doha, Qatar dengan hari ini merupakan hari mereka bertolak ke sana. Ini sebagai persiapan bagi menghadapi Piala Asia B-17 yang berlangsung di Thailand pada Jun ini.

Ad

“Pengalaman beraksi untuk negara ini tidak harus disia-siakan kerana peluang ini hadir kepada pemain-pemain terpilih dan istimewa sahaja.

“Saya percaya, tidak kira skuad bola sepak B-17 kebangsaan mahupun skuad bola sepak wanita kebangsaan mampu untuk mencipta kejutan pada saingan Piala Asia B-17 dan Sukan SEA 2023 nanti.

Ad

“Berikan komitmen serta dedikasi anda disulam dengan doa kepada negara, saya percaya kejayaan pasti akan menjadi milik kita,” ucapnya dalam majlis berbuka puasa barisan pemain dan staf kejurulatihan skuad Malayan Tigress dan Harimau Malaya B-17 di Hotel Armada, Petaling Jaya semalam.

Ad

Turut sama hadir ialah dua Exco FAM, Saaran Nadarajah dan Christopher Raj yang juga pengurus pasukan Harimau Malaya B-17, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.

Ad

Bagi skuad Malayan Tigress pula, mereka sedang menjalani latihan pusat di bawah bimbingan Soleen Al-Zoubi. Ini sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Sasaran untuk skuad B-17 dalam Piala Asia B-17 ialah melepasi peringkat suku akhir. Ini disebabkan pencapaian terbaik skuad B-17 ialah suku akhir Piala Asia B-17 pada 2014.