Advertisement
Hans Isaac: Kita Jumpa 26 Mac Nanti
Harimau Malaya
MakanBola
Hans Isaac

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac memilih berahsia tentang keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Beliau memilih berbuat demikian selepas tular imej yang didakwa imej terbaru padang SNBJ di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Imej tersebut didakwa menunjukkan padang SNBJ dilihat masih belum kembali ke tahap terbaik meskipun perlawanan Malaysia-Oman bakal berlangsung pada 26 Mac ini.

Hal ini mendorong Hans memberi maklum balas berikut di Instagram Story apabila ditanya tentang keadaan terkini padang SNBJ.

“Kita jumpa 26 haribulan untuk Malaysia lawan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita balas 0-2 itu, semua,” katanya.

Kenyataan ini dilihat mengulangi kenyataan sama yang dibuat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bila diminta mengulas tentang keadaan terbaru padang SNBJ.

“Mengenai gambar tersebut (padang SNBJ) bukan gambar semalam atau hari ini, tunggu hari perlawanan,” katanya.

Isu padang SNBJ tidak berada pada tahap terbaik untuk aksi berkenaan turut mengundang kebimbangan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas membuat tinjauan beberapa minggu lepas.

Bagaimanapun, beliau dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah diberi jaminan oleh PSM bahawa padang akan kembali pada tahap terbaik menjelang aksi pada 26 Mac.

Susulan keadaan padang yang kurang elok, Hamidin mendedahkan skuad negara memiliki venue alternatif selain SNBJ iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ini sebagai persediaan seandainya keadaan padang SNBJ masih lagi belum bersedia sebagai tuan rumah perlawanan antarabangsa.

Namun begitu, pada akhirnya, FAM bersetuju mengekalkan aksi Malaysia menentang Oman di SNBJ menerusi satu kenyataan media pada 8 Mac lepas.