“Hanya FAM Boleh Tolong Kami” – Irfan Bakti
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Pengendali Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat membantu pasukan itu menyelesaikan isu sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Harapan itu disuarakan Irfan apabila diminta mengulas isu sekatan perpindahan yang membelenggu pasukan Pantai Timur itu.

Pengendali veteran itu melihat isu sekatan tidak patut timbul kerana Kelantan RW tiada kena-mengena dengan hutang lama membabitkan pasukan berbeza.

Atas sebab itu, Irfan melihat pertolongan FAM amat diperlukan bagi membetulkan kekeliruan tersebut. Beliau percaya apabila isu itu dapat diselesaikan, Kelantan RW tidak berdepan masalah mendapatkan pemain baharu.

“16 ke 18 pemain. yang sebenarnya lapan hingga sembilan pemain saya telah gugurkan. Tetapi memandangkan keadaan situasi yang sekatan perpindahan FIFA itu, terpaksa saya panggil baliklah pemain-pemain tersebut. Itu yang pertama.

“Yang keduanya, saya pun mengharapkan sangatlah pihak FAM membuat sesuatu. Sebagai badan induk, hanya mereka saja yang boleh tolong kami. Yang mana bukan hutang kami, bukan masalah kami sebenarnya.

“Masalah yang zaman jahiliah lagi. Kami yang terpaksa tanggung benda ini. Jadi tolong lakukan sesuatu (berhubung perkara ini),” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena.

Kelantan RW mengucapkan selamat tinggal kepada Piala FA apabila tersingkir di tangan Kuching City FC. Kuching City mara dengan meraih kemenangan agregat 5-1.