Piala FA: Kuching City Ke Suku Akhir, Hampakan Kelantan RW
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya Piala FA selepas menewaskan Kelantan Red Warriors (KRW) 5-1 pada aksi timbal balik di Stadium Cheras, sekali gus menamatkan cabaran pasukan tuan rumah.

Kedua-dua pasukan kembali berentap selepas terikat pada pertemuan pertama, dengan KRW membawa misi mencipta kejutan di laman sendiri. Kuching City pula hadir sebagai pasukan pilihan dengan sasaran memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya dalam saingan kalah mati tersebut.

Irfan Bakti merombak sedikit kesebelasan KRW dengan Amin Faisal mengambil alih tempat Harif di gawang, manakala Faiz Nasir antara pemain berpengalaman yang terus diberi kepercayaan.

Bagi Kuching City pula, Aidil Sharin menurunkan barisan lebih ampuh berbanding pertemuan terakhir dengan Safawi Rasid, Petrus Shitembi dan Wenzell Halls menjadi sandaran di bahagian serangan.

The Cats membuka jaringan seawal minit ke-9 menerusi Wenzel Halls selepas hantaran ke tengah kotak penalti daripada bek kanan Kuching City, Filemon Anyie , yang terlebih dahulu melakukan gelecekan cantik dari sebelah kanan sebelum Halls menyudahkan peluang tersebut.

Aksi terpaksa dihentikan sementara pada minit ke-14 selepas lampu limpah padang terpadam akibat masalah teknikal. Perlawanan ditangguhkan selama kira-kira 20 minit sebelum kembali diteruskan.

Tidak lama selepas aksi bersambung, Kuching City menggandakan kelebihan pada minit ke-20 menerusi Safawi Rasid. Gol itu hadir hasil hantaran bek kiri mereka, Joao Pedro, yang berjaya mencari Safawi di tengah kotak penalti sebelum disudahkan dengan baik.

Kelebihan dua gol Kuching City kekal sehingga wisel separuh masa ditiupkan, dengan The Cats mendahului KRW 2-0 ketika rehat.

Kuching City terus memburu gol tambahan pada awal babak kedua dan berjaya menambah jaringan pada minit ke-53 menerusi Ronald Ngah Wanjah. Petrus Shitembi mencipta peluang dengan hantaran lolos yang disudahkan Ngah untuk menamatkan kemarau golnya.

Gol yang dinantikan KRW akhirnya hadir pada minit ke-64 apabila Mazwan Che Mat merapatkan kedudukan kepada 3-1. Mazwan mempamerkan kepantasan menerusi larian pantas sebelum menyambar hantaran rakan sepasukan untuk melepaskan penyudah yang menghasilkan gol.

Kuching City melebarkan kembali kelebihan pada minit ke-72 apabila Ronald Ngah Wanjah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol keduanya dalam perlawanan. Penalti diberikan selepas Ramadhan Saifullah dijatuhkan akibat terjahan lewat Iskandar di dalam kotak penalti.

Kuching City terus menambah derita KRW pada minit ke-81 apabila Kaishu Yamazaki menjaringkan gol menerusi tandukan hasil sepakan sudut yang diambil pemain gantian, Ramadhan Saifullah.

Keputusan 5-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan Kuching City mengesahkan kemenangan ke atas KRW.

Selepas ini, Kuching City bakal berdepan Melaka FC, manakala KRW pula akan menentang Penang FC pada 12 September dalam saingan Liga Super.