Bintang muda KL City FC, Haqimi Azim Rosli dicanang menjadi bintang tumpuan apabila saingan peringkat kumpulan Shopee Cup membuka tirainya pada 21 Ogos ini.
KL City menjadi salah satu daripada dua wakil negara untuk kejohanan kelab ASEAN yang berprestij itu. The City Boys dipilih atas statusnya sebagai naib juara Piala FA 2023.
Satu lagi wakil negara yang bersaing dalam Shopee Cup ialah Terengganu FC. Pemilihan skuad Peteh dibuat kerana statusnya selaku naib juara Piala Malaysia 2023.
Seperti pasukan-pasukan lain, keupayaan KL City dinilai oleh portal ASEAN United termasuk siapa bintang yang bakal menyerlah dalam saingan Shopee Cup.
Nama Haqimi dipilih kerana berpotensi mencetuskan pelbagai masalah kepada pihak lawan. Meskipun beraksi sebagai pemain sayap, pemain berusia 21 tahun itu juga mampu beraksi sebagai penyerang utama.
Dengan ketinggian 1.84 meter, Haqimi memiliki keupayaan fizikal untuk bersaing dengan pemain-pemain lain dalam situasi sepakan percuma.
Selain itu, penyerang skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu juga dijangka mampu menyesuaikan diri dalam perlawanan kelab berstatus antarabangsa seperti Shopee Club. Ini kerana Haqimi pernah beraksi dalam saingan Piala AFC 2022.
Ini termasuk pentas final kejohanan yang menemukan KL City dengan juara, Al-Seeb. Pengendali The City Boys ketika itu, Bojan Hodak memberinya peluang beraksi sebagai pemain gantian selama 20 minit.
Selepas bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama pada musim 2023, Haqimi menjadi pilihan di bahagian serangan oleh jurulatih Croatia, Miroslav Kuljanac. Beliau sentiasa bergandingan dengan Paulo Josue dan Jovan Motika untuk mengetuai jentera serangan KL City.
KL City bakal membuka kempen Shopee Cup dengan aksi pertama Kumpulan A. Mereka akan turun menentang Kaya-Iloilo di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Ogos ini.