Skuad kebangsaan Harimau Malaya bakal mendapat sentuhan pemain baharu menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Tugasan pertama Peter Cklamovski adalah memastikan pasukan kebangsaan layak untuk beraksi di Arab Saudi tahun 2027.
Situasi ini penting buat Malaysia selepas berjaya layak secara merit ke pentas Piala Asia setelah 42 tahun tidak melakukannya.
Momentum cemerlang ini ditagih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap Cklamovski di samping untuk membantu bagi memperbaiki kedudukan ranking FIFA Harimau Malaya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu pasukan kebangsaan, Rob Friend mengesahkan terdapat 4 pemain secara keseluruhan dalam proses awal untuk menambah kekuatan Harimau Malaya.
“Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac.
Rob mahu melihat skuad yang lebih besar dan persaingan lebih kompetitif buat pasukan kebangsaan dengan kehadiran tonggak warisan.
“Kita juga mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya,” jelasnya.
Malaysia kini menghuni tangga ke-132 dunia dengan 1182.76 mata dan merupakan pasukan keempat terbaik di Asia Tenggara selepas Thailand (98), Vietnam (114) dan juga Indonesia (125).
Aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia 2027 buat Malaysia adalah menentang pasukan ke-175 dunia, Nepal pada 25 Mac ini.