Pemain pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar sah dipanggil jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk kempen FIFA ASEAN Cup.
Sebelum ini, nama anak jati Klang, Selangor itu antara 13 pemain yang diletakkan dalam senarai menunggu. Mereka akan dipanggil seandainya salah seorang daripada 23 pemain yang dipanggil berdepan isu tertentu seperti kecederaan.
Perkara ini disahkan Selangor menerusi senarai pemain yang menerima panggilan skuad kebangsaan masing-masing.
“Faisal Halim, Quentin Cheng dan Nooa Laine telah dinamakan dalam skuad Harimau Malaya dengan Harith Haiqal juga secara rasmi dipanggil daripada senarai menunggu.
“Mereka akan berdepan Singapura, Bangladesh dan Indonesia dalam Kumpulan A,” kata Selangor dalam satu kenyataan.
Selepas diberi peluang beraksi buat Harimau Malaya oleh Pau Marti Vicente pada 2024, Harith Haiqal sudah merekodkan 13 penampilan dan satu gol. Beliau juga mampu beraksi sebagai pemain tengah bertahan jika diperlukan.
Meskipun begitu, tidak diketahui identiti pemain mana yang terpaksa disisihkan sekali gus membuka jalan buat Harith Haiqal menyertai kem negara. Satu nama berpotensi ialah pemain tengah PSM Makassar, Sergio Aguero.
Sebelum ini, jurulatih PSM Makassar, Darije Kalesic mendedahkan pemain tengah berusia 32 tahun itu masih menjalani proses pemulihan kecederaan hamstring.
Sebab sama juga yang mendorong beliau tidak menurunkan Aguero dalam beberapa perlawanan awal Super League untuk PSM Makassar setakat ini.
Kalesic memaklumkan jika bekas pemain Kanchanaburi Power itu masih belum cergas bersama kelab Indonesia itu, beliau percaya Aguero tidak akan membuat sebarang penampilan untuk Harimau Malaya.
“Sayangnya untuk kita ini, sudah tentu kerugian besar tidak bisa menggunakan Aguero sampai sekarang. Cederanya belum sembuh 100%.
“Jika beliau tidak bermain di sini (dan) sembuh 100%, saya jamin kita tidak akan melihat beliau bermain nanti di skuad kebangsaan Malaysia,” katanya.
Komposisi penuh skuad negara bakal diketahui apabila barisan pemain yang dipanggil melapor diri pada 21 September ini.