Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mahu memperbaiki kelemahan pasukan disebalik kemenangan pertama ke atas Negeri Sembilan dengan jaringan 3-1.
Hector mengakui bukan mudah menentang pasukan Negeri Sembilan yang menerapkan corak permainan bertahan sewaktu bermain di Stadium Sultan Ibrahim.
“Sentiasa sukar menentang pasukan defensif kerana anda tidak mempunyai ruang tetapi kita harus cuba mencari pemain yang bebas. Kita perlu lebih kompak tanpa bola di kaki.
“Pasukan lawan menjaringkan gol menerusi situasi long ball dan kita perlu berhati-hati tentang perkara ini kerana JDT sentiasa watak utama yang memegang bola. Jadi kita perlu perbaiki situasi ini.” ujar Hector Bidoglio.
Perlawanan antara JDT menentang Negeri Sembilan menyaksikan pihak lawan mengeksploitasi corak penguasaan bola JDT menerusi hantaran jauh sekaligus merisaukan jurulatih dari Argentina itu.
JDT berjaya menjaringkan dua gol awal menerusi penyerang sensasi, Bergson namun dibolosi pada minit ke-28 permainan hasil jaringan Hein Htet Aung.
Gol ketiga JDT hadir pada minit ke-71 hasil tandukan daripada kapten pasukan, Jordi Amat sekaligus mengesahkan kemenangan selesa JDT dengan keputusan 3-1 ke atas Negeri Sembilan.
Skuad Harimau Selatan seterusnya akan menentang KL City pada 25 Mei ini bertempat di Stadium Cheras untuk aksi minggu ketiga Liga Super.