Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui gembira dengan impak segera yang ditampilkan bek tengah Sepanyol, Alvaro Gonzalez.
Gonzalez menjadi sebahagian daripada tiga tonggak baru yang diturunkan Bidoglio dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Central Coast Mariners.
Selain beliau, JDT turut menurunkan bekas penyerang Beijing Guoan, Jonathan Viera dan bekas pemain tengah Sporting Gijon, Roque Mesa.
Gonzalez yang bergandingan dengan Jordi Amat bukan saja memastikan Harimau Selatan meraih kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah di Gosport. Malah, bekas bek tengah Al-Nassr itu turut menjaringkan dua gol.
Bidoglio mengakui bukan mudah bagi bek tengah berusia 35 tahun itu menyesuaikan diri selepas menyertai JDT pada minggu lalu.
“Saya amat gembira dengan Alvaro (Gonzalez) dan pemain-pemain baru yang lain (Viera dan Mesa). Bukan mudah bermain (dan menyesuaikan diri dengan) corak permainan kami.
“Mereka baru bersama kita dalam seminggu yang lalu. Ianya sukar tetapi mereka tetap berdedikasi dan mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan JDT kini menduduki tangga kelima Liga Timur ACLE dengan 11 mata.
Harimau Selatan boleh mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik ACLE dengan meraih kemenangan ke atas Pohang Steelers pada 18 Februari.
Sekiranya perkara itu dapat dicapai, JDT mengiringi Kawasaki Frontale, Yokohama F. Marinos, Gwangju FC dan Vissel Kobe ke pusingan berikutnya.