Advertisement
Hector Bidoglio Tidak Gentar Cabaran Gwangju
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Hector Bidoglio tidak gentar dengan cabaran lawan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Gwangju FC.

Selepas dua perlawanan Liga Timur ACLE, JDT kini mengumpul empat mata. Ini selepas Harimau Selatan mengikat Shanghai Port 2-2 dan menewaskan Shanghai Shenhua 3-0.

Kini, JDT berdepan Gwangju yang dilabel antara pasukan kejutan dalam saingan ACLE. Meskipun berada dalam kelompok playoff penyingkiran K-League 1 musim 2024, pasukan itu masih belum kalah di peringkat Asia.

Gwangju mencipta kejutan dengan membelasah Yokohama F. Marinos 7-3 pada 17 September lalu. Ini disusuli dengan satu lagi kemenangan ke atas Kawasaki Frontale 1-0 pada 1 Oktober lalu.

Bidoglio mengakui Gwangju satu pasukan yang hebat. Ini kerana pasukan yang dibimbing Lee Jung-hyo itu gemar mengekalkan penguasaan bola dan suka beraksi di kawasan lawan.

Pada masa sama, beliau percaya JDT mampu bersaing dengan Gwangju. Atas sebab itu, Bidoglio mahu barisan anak buahnya kekal fokus demi mendapatkan keputusan terbaik di bumi Korea Selatan.

“Kita tahu Gwangju, kita tahu mereka pasukan yang hebat. Mereka suka mengawal bola dan bermain di kawasan pihak lawan.

“Tapi yang paling penting ialah fokus terhadap kita sendiri. Pasukan kita suka mengawal bola dan kita memiliki para pemain yang bagus.

“Kita juga suka bersikap proaktif (di atas padang). Tapi kita perlu fokus kepada pasukan kita dalam (aksi) Liga Juara-Juara (AFC Elit),” katanya dalam sidang media praperlawanan.

JDT dan Gwangju bakal berentap di Stadium Yongin Mireu pada 22 Oktober ini. Stadium ini dipilih susulan mutu padang stadium asal Gwangju, Stadium Piala Dunia Gwangju disifatkan kurang memuaskan.

Aksi ini juga berpotensi menjadi pentas bekas bintang Real Madrid, Jese Rodriguez membuat penampilan pertama bersama Harimau Selatan.