Jurulatih beregu lelaki baharu negara, Herry Iman Pierngadi mendedahkan rahsia di sebalik gelarannya, Naga Api.
Gelaran Naga Api diberi oleh peminat badminton China kerana kejayaan beliau menghasilkan beregu-beregu lelaki Indonesia berwibawa termasuk beregu legenda, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.
Gelaran itu timbul apabila Hendra-Ahsan berjaya menewaskan beregu utama China, Cai Yun-Fu Haifeng dalam aksi separuh akhir BWF World Championship 2013.
“Gelaran itu bukan daripada saya. Sewaktu kita bermain di China ketika saya melatih Indonesia, kita banyak mendapat gelaran (juara) di China.
“Peminat badminton di China kasi saya jolokan Naga Api, lebih kurang begitu. Bukan daripada saya tetapi daripada peminat badminton di China yang memberi saya jolokan itu,” katanya.
Herry memulakan tugas secara rasmi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini sebagai pengganti jurulatih sebelumnya, Tan Bin Shen.
Fokus awal beliau ialah saingan Badminton Asia Mixed Team Championship 2025 pada Februari dan All England Open 2025 pada Mac.