Advertisement
Herry Iman Dilantik Jurulatih Beregu Lelaki Malaysia
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Jurulatih legenda Indonesia, Herry Iman Pierngadi sah dilantik sebagai jurulatih baharu beregu lelaki Malaysia.

Pelantikan beliau diumumkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan sukacita mengumumkan pelantikan legenda beregu Indonesia, Herry Iman Pierngadi sebagai ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

“Herry memiliki rekod cemerlang di mana beliau pernah melatih juara Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).”

Pengumuman ini sekaligus mengakhiri desas-desus siapa calon pilihan BAM sebagai pengganti jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen.

Sebelum ini, nama Flandy Limpele, Paulus Firman, Lee Wan Wah, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong dikaitkan dengan kerusi panas berkenaan.

Herry sebelum ini bersama Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) selama 25 tahun.

Tempoh tersebut menyaksikan beliau melatih ramai beregu lelaki handalan negara itu seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya, Hendra Setiawan-Markis Kido, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Fajar Alfian-Rian Ardianto.

Herry kemudiannya memilih meninggalkan PBSI pada penghujung tahun lalu untuk mencari cabaran baru. Tugasan terakhirnya bersama badan induk itu ialah membentuk beregu campuran Indonesia.

Beliau dijangka memulakan tugas secara rasmi pada 1 Februari ini. Herry menjadi figura terbaru menyertai BAM selepas legenda Denmark, Kenneth Jonassen.