Selepas Johor Darul Ta’zim menjadi juara liga, kini tumpuan terarah kepada pasukan mana yang akan kekal beraksi di Liga Super musim hadapan.
Perlawanan malam ini yang melibatkan Melaka United FC dan Perak FC pasti menjadi perhatian ramai. Kedua-dua pasukan perlukan kemenangan untuk menentukan nasib mereka pada musim hadapan.
Melaka United yang dibimbing Zainal Abidin Hassan kini menghuni tangga ke-8 dengan mengumpul 18 mata. Mereka kini mengumpul mata yang sama dengan Sri Pahang di tangga ke-9 dan juga PJ City di tangga ke-10.
Untuk Perak, mereka kini berada di tangga ke-11 dari 12 pasukan bertanding dengan hanya mengumpul 13 mata.
Mengikut secara matematik, Melaka United hanya perlu seri untuk kekal dalam liga super. Namun jika mereka tewas, mereka perlu menunggu keputusan perlawanan UiTM FC yang kini kekurangan satu perlawanan berbanding mereka.
Jika UiTM keciciran mata, maka Melaka United pasti kekal dalam Liga Super Malaysia musim hadapan.
Manakala Perak wajib menang malam ini dan juga perlawanan terakhir mereka menentang Sabah yang mana Perak menjadi tuan rumah. Mereka juga perlu mengharapkan PJ City dan Sri Pahang untuk tewas baki perlawanan mereka.
Buat masa ini, pasukan yang paling berisiko untuk turun ke Liga Perdana ialah Perak FC dan UiTM FC. Mereka wajib menang baki perlawanan dan mengharapkan pasukan berada di atas mereka keciciran mata.
Perak FC kelihatan tempang pada musim ini selepas beberapa tonggak utama mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab selepas isu dalaman yang berlaku ketika itu.
Tetapi jika pasukan Liga Super ditambah pada musim hadapan seperti yang dihebohkan sebelum ini, maka mereka berpotensi terus kekal beraksi di kasta liga tertinggi Malaysia ini.