“Hidup Satu Maraton” – Tunku Ismail
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor tetap berbangga dengan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Perjalanan JDT terhenti di peringkat suku akhir apabila tewas 2-1 kepada juara bertahan dari Arab Saudi, Al-Ahli.

Selepas ketinggalan menerusi gol sendiri Ali Majrashi dan beraksi dengan 10 pemain, Al-Ahli bangkit meraih kemenangan menerusi gol Franck Kessie dan Galeno.

Meskipun Harimau Selatan terlepas peluang mara ke separuh akhir, Tunku Ismail tetap bersyukur dengan pencapaian pasukan itu di pentas Asia.

Ini kerana JDT menjadi wakil Malaysia pertama layak ke peringkat suku akhir ACLE. Tunku Ismail percaya pencapaian pada musim ini bakal menjadi batu asas untuk pasukan itu untuk terus berjuang pada musim hadapan.

“Hidup ini satu maraton, bukan acara pecut. Nikmati perjalanan ini, setiap hari merupakan satu anugerah. Allahuakbar,” katanya di ruang komen Instagram Johor Southern Tigers.

Selepas tamat kempen ACLE, JDT kini mengalihkan fokus kepada menamatkan baki kempen Liga Super, final Piala Malaysia dan separuh akhir Shopee Cup.

JDT bakal bertemu dengan Kuching City FC di peringkat akhir Piala Malaysia. Anak buah Aidil Sharin Sahak mara dengan menewaskan Selangor FC 2-1 secara agregat di peringkat separuh akhir.

Separuh akhir Shopee Cup pula bakal menemukan anak buah Xisco Munoz dengan kelab gergasi Thailand, Buriram United. Mereka akan bertemu pada 6 dan 13 Mei ini.